- Home
- Perutusan
- Kenali Puspanita
- Panduan Kerja
- Pekeliling
- Galeri
- Muat turun
- Hubungi Kami
Program Makan Malam Citra Batik 2025 anjuran PUSPANITA Cawangan Sabah telah berlangsung dengan penuh meriah dan berprestij pada 9 November 2025, bertempat di Magellan Ballroom, Sutera Harbour.
Magellan Ballroom dipenuhi warna-warni batik dengan pelbagai corak dan gaya, seiring dengan slogan “Menyulam Tradisi, Menyeri Elegansi”. Malam tersebut diraikan dalam suasana penuh keanggunan, kebersamaan, serta apresiasi terhadap seni warisan bangsa.
Antara pengisian istimewa malam tersebut ialah Peluncuran Tudung dan Selendang Rasmi PUSPANITA Cawangan Sabah, yang menjadi simbol keanggunan, identiti dan kebanggaan wanita PUSPANITA. Peluncuran ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah merangkap Penasihat PUSPANITA Cawangan Sabah.
Istimewanya tahun ini, buat julung-julung kalinya, bagi menghargai sokongan padu para suami atau penasihat, PUSPANITA Cawangan Sabah turut menjemput para suami hadir bersama isteri tercinta, memeriahkan malam penuh elegan ini dengan semangat kebersamaan dan kasih sayang.
YBhg. Datin Seri Panglima Datuk Dr. Hajah Nuinda binti Haji Alias, Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah, turut menzahirkan penghargaan melalui sajak khas bertajuk “Terima Kasih Suami”. Sajak ini dicipta sebagai penghormatan kepada para suami yang menjadi tulang belakang para Pengerusi dan ahli-ahli PUSPANITA, yang sentiasa memberi izin, sokongan dan dorongan kepada isteri masing-masing untuk terus berpersatuan dan berbakti kepada masyarakat.
Tahniah diucapkan kepada Pengerusi Pelaksana, Timbalan Pengerusi Pelaksana, serta seluruh krew PUSPANITA Cawangan Sabah atas dedikasi, kerjasama dan komitmen tinggi dalam menjayakan program ini dengan penuh gaya serta keindahan seni batik tempatan!